Thursday 13 January 2022

Cinta Ini Milikmu - Bab 3

 


Bab 3

Seminggu kemudian, Tengku telah pun bermula dengan cuti penggalnya manakala Hafizah bersedia untuk menyiapkan tugasan-tugasan terakhir untuk semester itu. Pada suatu hari, Hafizah keluar daripada bilik pensyarahnya kerana baru sahaja menghantar tugasan dia terserempak dengan Johan.

            "Hai, Hafizah," tegur Johan dari belakangnya.

            "Oh! Hai, Johan,"balas Hafizah.

            "Nak pergi mana lepas ni? Jom minum," ajak Johan.

            "Cafe. Erm, boleh jugak. Saya kan nak belanja awak minum," balas Hafizah dengan muka yang sengaja dimaniskan.

 

Mereka berdua menuju ke cafeteria dan duduk di salah sebuah meja meletak beg dan buku-buku mereka sebelum ke kaunter untuk memesan air. Kemudian, mereka duduk semula di meja itu.

            "Awak masih dengan tunang awak?"tanya Johan ingin tahu. Hafizah mengangguk sambil tersenyum.

            'Aku dah agak, mamat ni mesti nak korek rahsia,'getus hati Hafizah.

            "Dia budak diploma kan?"tanya Johan lagi.

            "Yup, chemical engineering. Part 4,"balas Hafizah.

            "Lambat jugak dia habis study kan? Sedangkan dia tua setahun dari kita,"duga Johan.

            "Aah, sebab dia ambil pra-diploma dulu sebab masa SPM dia tak ambik kimia,"balas Hafizah bersahaja.

            "Dah lama ke awak kenal dia?"tanya Johan ingin tahu.

            "Dalam 4 hingga 5 tahun juga la, masa saya Form 4 saya kenal dia,"jawab Hafizah.

            "Oh! Lama juga. Kenal dekat mana?"tanya Johan.

            "Yahoo! Messanger,"balas Hafizah selamba.

            "Oh! Bila awak bertunang dengan dia?"tanya Johan lagi.

            "Baru je lagi. Sebulan sebelum awak tahu yang saya dengan dia dah bertunang,"Hafizah memulakan penipuannya.

            "Oh! Dia pun orang Perak ke?"tanya Johan.

            "Tak la, Dia orang sini. Nanti dia datang la, melawat saya,"beritahu Hafizah sambil tersenyum, mempamerkan wajah gembira.

            "Berminat jugak awak tentang dia dan saya, kan?"tanya Hafizah pula. Johan tersenyum.

            "Saja, saya nak tahu. Sebab saya tengok kadang-kadang awak dengan dia macam bukan tunangan je,"jawab Johan.

            "Ye? Habis tu kalau tunangan nak macam mana pulak? Bagi saya, saya dengan dia bukannya suami isteri nak lebih-lebih sangat,"Hafizah meluahkan pendapatnya.

            "Entah. Tapi instinct saya merasakan yang awak dengan dia bukannya betul-betul pasangan bercinta. Kalau ya, mesti saya akan berasa cemburu dengan dia. Tapi, perasaan ragu-ragu je banyak bila lihat awak dengan dia,"jelas Johan.

            "Kenapa awak nak rasa cemburu pula?"tanya Hafizah kurang mengerti.

            "Sebab saya suka awak,"jujur Johan meluahkan perasaannya.

            "Hah?!"Hafizah terkejut. Tiba-tiba seseorang menarik kerusi di sebelahnya.

            "Assalammualaikum," Tengku Ariff memberi salam sambil tersenyum memandang Hafizah dan Johan.

            "Dah lama tunggu?"tanya Tengku. Hafizah sekadar menggelengkan kepalanya.

            "Are you OK, sayang?"tanya Tengku kepada Hafizah, reaksi muka Hafizah benar-benar kelihatan lain.

            "Okla, saya pergi dulu, Hafizah. InsyaAllah, nanti kita jumpa lagi,"Johan bangun lalu mengundurkan diri meninggalkan Hafizah dan Tengku.

            "Awak OK tak ni, Hafizah?"tanya Tengku sambil memandang tepat ke wajah gadis itu. Hafizah menggelengkan kepala.

            "Kenapa? Apa yang dah jadi?"tanya Tengku lagi.

            "Johan cakap, dia suka saya,"beritahu Hafizah.

            "Awak cakap apa?"tanya Tengku.

            "Takde apa. Saya cuma terkejut je, then awak datang,"beritahu Hafizah.

            "Awak suka dia?"tanya Tengku tiba-tiba. Hafizah memandang Tengku dengan dahi berkerut.

            "Takla. Saya tak suka dia la,"balas Hafizah sambil menghirup minumannya.

            "Betul?"tanya Tengku inginkan kepastian.

            "Betul,"balas Hafizah.

            "Pandang saya, dan beritahu yang awak tak suka dia,"pinta Tengku. Hafizah berpaling, memadang tepat ke anak mata Tengku.

            "Saya tak suka dia dan takkan sekali-kali untuk suka dia,"beritahu Hafizah dengan jelas.

            "Saya?"tanya Tengku.

            "Awak? Kenapa dengan awak?"tanya Hafizah semula tidak memahami maksud Tengku.

            "Awak suka saya tak?"tanya tengku dengan ayat penuh.

            "Suka yang awak maksudkan lebih dari seorang kawan kan?"tanya Hafizah inginkan kepastian. Tengku mengangguk.

            "Saya suka kawan dengan awak tapi tak lebih daripada itu,"balas Hafizah jujur. Tengku mengangguk.

            "Takpe, itu sudah cukup bagi saya" balas Tengku sambil tersenyum.

Beberapa bulan kemudian, setamat sahaja peperiksaan Hafizah pulang ke kampung menaiki kenderaan awam, bas. Berada di kampung membuatkan Hafizah terlupa akan masa yang berlalu dan segala yang ada di Pulau Pinang termasuk Tengku Ariff. Setelah seminggu setengah dia mula cuti semester, tiba-tiba Tengku menghantar sms kepadanya.

(Assalammualaikum, dekat mana? Kampung eh?)-Tengku

(Waalaikummussalam. Yup. Dah seminggu lebih dekat sini. Hihi)-Hafizah

(Wah! Tanpa disedari ketiadaannya)-Tengku

(Perlu ke disedarkan akan ketiadaanku? Haha)-Hafizah

(Kadang-kadang. Agar harapan yang ada tidak punah)-Tengku

(Lain macam bunyi. Awat hang ni)-Hafizah

(Takda orang nak teman cheq pi sarapan)-Tengku

(Lah. Melambak-lambak kawan hang, tu pun kata takda kawan ka? Tak patut sungguh hang ni. Haha)-Hafizah

(Depa lain. Hang lain)-Tengku

(Takde apa yang lainnya. Sama je. Depa kawan hang, cheq kawan hang)-Hafizah

(Memanglah. Tapi depa laki. Hang perempuan. Mana sama)-Tengku

(Hang nak sarapan je kan? Yang hang dok berkira sangat pasai pa? Hang kan ada kawan pempuan lain. Uli? Ajak lah depa.)-Hafizah

(Mau depa ingat cheq ni demam. Tak pernah-pernah cheq ajak perempuan makan sekali)-Tengku

(Habis tu Cheq ni apa benda pulak? Pondan? =.=”’)-Hafizah

(Hang memang la perempuan. Cheq dah biasa dengan hang. So, cheq tak kedah sangat. Hang pun tak kesah pun kan? Lepaih tu, boleh kira dengan jari la kita duk keluaq sama)-Tengku

(Apap-apa lah Tengku Ariffin Tengku Sulaiman. Cheq memang dok kalah ja kalua berdebat dengan hang ni)-Hafizah

(Merajuk ka? Hahaha)-Tengku

(Takda makna cheq nak merajuk dengan hang. Tak berkembang otak)-Hafizah

(Amboi! Hang. Perli Nampak)-Tengku

(Sapa suruh hang terasa. Haha)-Hafizah

(Ni.. Amirul, dia asyik mengadu kat cheq..)-Tengku

(Awat? Kucing dia hilang lagi ka?)-Hafizah

(Hang la. Awat tak reply mesej dia? Laa ni, dia dok bising kat cheq)-Tengku

(Cheq malas la. Dia banyak cakap. Bila cheq balas pendek, dia teguq cheq awat balas pendek sangat. Habis tu cheq nak kena cakap apa panjang2?=.=”’)-Hafizah

(Haha. Dia memang lagu tu. Ramah lebih sikit. Tapi seronok kawan dengan dia. Banyak pengalaman dia suka share)-Tengku

(Pengalaman yang menambahkan berat memori cheq nak ingat pasai dia? Dah tu, mengulang benda sama. Benda tak ingat pun jadi ingat. Memang, cheq memang suka lelaki lagu tu)-Hafizah

(Hang ni, memilih sangat)-Tengku

(Biaq pi la. Cheq yang nak kawan. Macam hang jugak. Hang ingat hang sorang ja boleh pilih-pilih)-Tengku

(Amboi! Hang.. marah nampak. Jangan lag utu, makcik. Nanti cepat jadi nenek. Haha)-Tengku

(Yang hang dok pi bukak cita pasai Amirul buat pa. mana cheq tak hangin. Dah tu nak salahkan cheq pulak)-Hafizah

(Cheq tak marah hang. Cheq teguq ja)-Tengku

(Dah la. Saya nak tidur. Mengantuk. Maaf kalua ada salah silap. Jaga diri, assalammualaikum)-Hafizah

(Okey. Jaga diri jugak, waalaikummussalam. Jangan marah-marah na =) )-Tengku

 

Masuk sahaja tahun kedua, Hafizah mengambil keputusan untuk pulang ke asrama sehari lebih awal sebelum kuliahnya bermula bagi membuat persediaan pada semester itu. Hafizah memilih untuk tinggal di asrama oleh sebab masih ada kekosongan. Kali ini, Hafizah tidak bersama teman sebiliknya pada semester lepas kerana rakannya lebih memilih untuk tinggal di rumah sewa.

            Beberapa minggu kemudian, ketika Hafizah di perpustakaan mencari buku di rak-rak buku dia ditegur seseorang dari belakang.

            "Hafizah?"tanya lelaki itu. Hafizah berpaling.

            "Amirul,"Hafizah tersenyum melihat lelaki itu dihadapannya.

            "Seorang je?"tanya Amirul. Hafizah mengangguk.

            "Awak pun seorang?"tanya Hafizah semula. Amirul mengangguk.

            "Awak ambil course apa eh?"tanya Amirul sambil memandang buku rujukan yang dipegang Hafizah. Sepanjang dia cuba berkenalan dengan Hafizah baru kini betul-betul bertanyakan soalan mengenai gadis itu.

            "Sains komputer, awak?"tanya Hafizah semula setelah menjawab soalan Amirul.

            "Chemical engineering. Part 5,"balas Amirul.

            "Oh! sama course macam Tengku jugak lah,"balas Hafizah dan Amirul hanya mengangguk.

            "Awak memang selalu study sorang-sorang ke? Saya tak nampak pun awak belajar dengan siapa-siapa,"luah Amirul.

            "Ada je study dengan coursemate saya tapi jarang. Saya selesa sorang-sorang. Senang nak bergerak. Kalau saya nak ada teman, kadang-kadang saya minta tolong Tengku temankan,"balas Hafizah sambil tersenyum. Amirul hanya mengangguk faham.

            "Awak dengan Tengku ada something ke?"tanya Amirul tiba-tiba.

            "Awak rasa?"Hafizah berteka-teki dengan Amirul.

            "No idea. Sebab dengan saya awak macam mengelak tapi dengan Tengku awak rapat sangat. Bila saya tanya Tengku dia kata taka da apa-apa,"jawab Amirul sambil menggelengkan kepala.

            “Jadi, kesimpulannya?”tanya Hafizah lagi.

            “Awak bertepuk sebelah tangan,”luah Amirul.

            "Biarlah rahsia. Dan, awak tak perlu risaukan tentang saya ada hubungan dengan dia atau tak. Yang penting, apa yang saya boleh beritahu awak tentang perkenalan kita."balas Hafizah sambil tersenyum.

“Kenapa dengan kita?”tanya Amirul keliru.

“Cukuplah sampai sini. Saya tak boleh nak sepadankan mood saya dengan perangai awak. Saya rasa lebih baik  awak dekati gadis yang lebih ikhlas dengan awak. Ada perempuan lain yang lebih ingin mengenali awak daripada saya. Dia ada, percayalah,” jelas Hafizah panjang lebar dan berlalu dari situ meninggalkan Amirul berseorangan.

Lewat petang itu,  hujan mula turun renyai-renyai. Hafizah baru sahaja pulang dari bertemu pensyarah bertembung dengan Tengku ketika dia keluar dari Fakulti Sains. Mereka berdua tersenyum apabila pandangan mereka bertembung.

            "Awak dari mana?"tanya Hafizah sebaik sahaja mereka sudah berada dalam jarak yang dekat.

            "Jumpa dengan pensyarah kimia tadi. Hantar assignment. Awak?"tanya Tengku.

            "Saya jumpa dengan pensyarah komputer, tanya pasal assignment. Ada yang saya tak berapa faham,"balas Hafizah sambil tersenyum.

            "Awak nak balik dah ke?'tanya Tengku.

            "Yela, nanti makin lebat pulak hujan,"balas Hafizah.

            "Tak bawak payung?"tanya Tengku.

            "Tak. Saya tertinggal dekat asrama,"balas Hafizah.

            "Saya hantarkan awak balik asrama,"pelawa Tengku.

            "Awak bawa kereta ke?"tanya Hafizah.

            "Takla. Motor, tapi cepat sikit sampai daripada awak berjalan kaki kan,"Tengku menyangkal.

            "Dekat mana motor awak? Jauh tak?"tanya Hafizah.

            "Awak tunggu dekat depan sana. Nanti saya datang, ambil awak,"pinta Tengku. Hafizah sekadar mengangguk manakala Tengku berlari dengan pantas ke tempat letak kenderaan.

            Sebaik sahaja Hafizah menunggang motorsikal bersama Tengku, hujan mulai kasar dan lebat.

            "Pegang kuat-kuat! Saya nak bawa laju sikit,"pinta Tengku. Hafizah hanya mengangguk dan dengan kemas dia memeluk tubuh lelaki itu. Dengan pantas, motorsikal itu meluncur laju menuju ke asrama dimana Hafizah tinggal.

            Keesokkan harinya, sebaik sahaja tamat kelas Hafizah terus bergerak menuju ke asramanya kerana tidak sedap badan.

            Apabila demamnya masih tidak kebah, Hafizah terpaksa ke klinik untuk meminta surat cuti dan terpaksa berehat dari kelas untuk dua hari kerana demamnya yang teruk, Pada hari terakhir cutinya, Tengku menghantar sms.

(Assalammulaikum. Awak okey tak? Saya dapat tau awak demam teruk)-Tengku

(Waalaikummussalam. Okey dah sikit. Macam mana awak tau? Johan ke?)-Hafizah

(Takdelah. Kenapa? Johan tahu ke awak demam?)-Tengku

(A’ah. Dia call saya semalam, tanya kenapa tak datang kelas. Habis tu, awak dapat tahu dari siapa?)-Hafizah

(Roommate awak lah. Dia girlfriend adik angkat saya)-Tengku

(Oh! Okeylah awak. Saya nak rehat ni. Nanti text lagi ataupun esok awak belanja saya breakfast ke? Hehe)-Hafizah

(Awak takde kelas ke pagi esok?)-Tengku

(Ada. Pukul 10 pagi sampai 12 tengah hari. Kenapa?)-Hafizah

(Haa, macam tu kita pergi lunch nak? Saya bawak awak pergi makan ‘pasemboq’. Sebab pagi tu saya ad akelas 9 pagi sampai 11pagi)-Tengku

(Erm, okey. Jumpa dekat tempat biasa?)-Hafizah

(Yup. Tempat biasa. Okey, take care. Assalammulaikum)-Tengku

(Waalaikummusalam)-Hafizah

 

Tengah hari keesokkan harinya, Hafizah ternampak dari kejauhan Amirul dan Tengku sedang berbual dengan riak muka yang agak serius di hadapan perpustakaan universiti. Hafizah menghampiri cuba memahami percakapan mereka di sebalik dinding berdekatan.

“Hang tak bole ka pujuk dia untuk aku. Kata hang kawan aku. Lagipun hang sendiri kata hang ngan dia takdak apa-apa,” suara Amirul sedikit keras bagai memaksa Tengku.

“Mirui, aku memang kawan ja ngan dia. Tapi kalau dia sendiri dah habaq kat hang lagu tu, aku nak buat macam mana lagi. Memang takda jalan dah,”balas Tengku serba salah. Tersepit di antara dua sahabatnya.

“Hang juai la nama aku kat dia. Hang habaq ja pasai diri aku pekara yang dia suka,”pinta Amirul.

“Hang ni mengarut la, Mirui. Takkan aku nak tipu dia pasai hang supaya dia suka hang,”balas Tengku. Hafizah beredar daripada situ ke taman ilmu tidak menunggu hingga perbualan itu tamat, hanya menunggu Tengku hadir sepertimana yang dijanjikan.

Ketika di kedai pasemboq yang terkenal di Pulau Pinang, Tengku dan Hafizah duduk sementara menunggu pesanan mereka sampai.

            “Awak tadi daripada mana?”tanya Hafizah ingin tahu.

            “Erm, library. Ada discussion sikit dengan team,”balas Tengku kelihatan sedikit lelah.

            “Penat eh?”tanya Hafizah ambil berat.

            “Biasalah, tahun akhir kan. Sibuk dengan FYP, sem depan dah start intern,”beritahu Tengku.

            "Awak betul-betul dah sembuh ke?"tanya Tengku, ambil berat.

            "Alhamdulillah, jangan lah risau,"balas Hafizah.

            "Muka tu, pucat je. Macam mana tak risau,"balas Tengku.

            "Betul ke awak risau? Atau awak hanya menghantar kerisauan Amirul pada saya je,"Hafizah berteka-teki.

            "Hah?"Tengku terkejut.

            "Saya terdengar perbualan awak dengan Amirul tadi di library,"beritahu Hafizah.

            "Awak dengar apa?"tanya Tengku dengan muka sedikit cuak.

            "Tentang dia ambil tahu pasal saya. Apa ntah lagi saya dengar? Jual nama?,"beritahu Hafizah tanpa memandang muka Tengku. Tengku melepaskan nafas lega.

            "Kenapa? Awak kutuk apa tentang saya dengan dia?"tanya Hafizah keras.

            "Mana ada apa-apa,"sembunyi Tengku.

            "Baik awak beritahu,"paksa Hafizah sambil tangan kanannya memegang garfu dan tangan kirinya memegang wajah Tengku agar memandangnya. Spontan, Tengku menahan tangan kanan Hafizah yang memegang garfu dari mengenai wajahnya dengan tangan kirinya dan memegang pergelangan tangan kiri Hafizah dengan tangan kanannya.

            "Mana ada apa-apa. Kami tak cakap apa-apa pun,"balas Tengku menyakinkan Hafizah sambil memandang ke arah kiri dan kanannya. Beberapa orang pelanggan memerhatikan kelakuan mereka.

            "Saya tak percaya. Habis tu, kenapa awk buat muka lega bila saya kata saya dengar itu je?"tanya Hafizah tidak puas hati menuntut penerangan yang lebih jelas.

            "Betul, sayang. Abang tak tipu. Kami tak cakap apa-apa,"Tengku terpaksa menggunakan istilah itu untuk mengelak disoal lagi oleh Hafizah kerana dia tahu, Hafizah tidak suka menggunakan gelaran itu jika tak kena pada keaadaannya. Dan memang benar, Hafizah menjelingnya lalu melepaskan wajah Tengku. Garfu diletakkan semula di dalam bekas tempat letak sudu dan garfu.

            "Awak ni, menakutkan saya la,"luah Tengku

            "Awak yang buat saya melakukan benda yang saya tak pernah buat tambahan pada lelaki,"luah Hafizah pula.

            "Saya pulak, awak yang mulakan dulu,"Tengku menolak kesalahannya.

            "Memang pun. Semua salah saya. Awak tu je yang betulkan?"Hafizah mengecam Tengku.

            "Lah, takkan merajuk kot,"Tengku membuat sangkaan.

            "Sikit,"Hafizah mengaku. Tengku bertindak mendiamkan diri, tidak melakukan apa-apa. Selesai sahaja makan, Tengku bersuara semula.

            "Awak dah OK?"tanya Tengku.

            "OK? Kenapa tak OK pulak?"tanya Hafizah pelik.

            "Pasal tadi?"tanya Tengku lagi.

            "Lupakan jelah. Takde benda pun,"balas Hafizah lalu bangun.

            "Jomlah balik, aku dah start pening balik,"pinta Hafizah.

            "Aku? Mana ntah dapat,"rungut Tengku sambil mendahului Hafizah menuju ke kereta miliknya. Hafizah hanya tersenyum melihat reaksi Tengku.

No comments:

Post a Comment